FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ahmad Hasbi


Seremban: Kelonggaran kepada pasangan suami isteri jarak jauh untuk merentas negeri dan daerah selepas lengkap vaksin Covid-19 diharap dapat memperbaiki dan memperkukuhkan lagi institusi kekeluargaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, berkata beliau menyambut baik kelonggaran diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

"Bukan sahaja pasangan suami isteri jarak jauh dapat kelonggaran untuk merentas negeri dan daerah untuk bertemu pasangan masing-masing, malah ibu bapa juga dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

"Sudah semestinya ia satu kelegaan kepada semua dan diharapkan keluarga dapat menggunakan kesempatan ini sepenuhnya untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, kali terakhir pasangan suami isteri jarak jauh dapat merentas negeri adalah pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.

"Jadi sudah agak lama untuk pasangan jarak jauh ini tidak bertemu pasangan masing-masing. Kini masa untuk merapatkan kembali hubungan," katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan beberapa kelonggaran kepada penerima lengkap vaksin Covid-19, membabitkan kemudahan perjalanan, kuarantin dan sektor sosial bermula 10 Ogos.

Kelonggaran itu termasuk kebenaran merentas daerah dan negeri, selain kebenaran solat di masjid serta surau, makan di dalam restoran (dine-in), aktiviti sukan kegiatan luar dan separa terbuka, serta kebenaran menginap di hotel dan inap desa bagi sektor pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 2:05 PM