GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menerima purata antara 500 hingga 750 permohonan sehari untuk merentas negeri daripada orang ramai menerusi enam balai polis di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pelbagai alasan dikemukakan orang ramai yang membuat permohonan berkenaan.

"Antara alasan diberikan termasuk bertemu pasangan (isteri) yang tinggal di negeri lain, isu perubatan, hal kecemasan dan lain-lain.

"Setiap permohonan yang dibuat akan diteliti terlebih dahulu sebelum ia diberikan kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri," katanya pada sidang media di Balai Polis Rawang, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya sudah meluluskan 350 permohonan yang diterima pihak polis setakat 4 petang hari ini.

"Hari ini sahaja (sehingga jam 4 petang tadi), kami menerima 360 permohonan rentas negeri menerusi enam balai polis.

"Selepas meneliti alasan diberikan, kami meluluskan 350 permohonan, manakala 10 permohonan lagi ditolak kerana tidak mempunyai alasan munasabah," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri kepada suami isteri yang tinggal berjauhan atas tuntutan kerja mulai 1 Jun lalu.

Bagaimanapun, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 7:29 PM