Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


SUAMI isteri 'mingguan' boleh memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk rentas negeri mulai hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk untuk sekali dalam tempoh seminggu.

"Sebelum ini ada pasangan yang tinggal berlainan negeri dan berjumpa hanya pada hujung minggu, tidak dapat pulang kerana arahan tidak boleh merentas negeri.

"Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kemudian sudah umumkan kebenaran untuk suami atau isteri merentas negeri dan bertemu dengan keluarga masing-masing," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri turut mengingatkan pihak berkenaan masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan mereka memaklumkan pergerakan.

"Mereka boleh ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan pergerakan," katanya.

Pada 10 April lalu Muhyiddin dalam perutusan khas yang disiarkan di seluruh negara mengumumkan kebenaran merentas negeri bagi suami isteri yang tinggal berjauhan.

Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 3:17 PM