MOHD Nasir memeriksa rampasan minuman keras dan rokok di kawasan pemeriksaan Kastam Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu. FOTO Juwan RIduan
MOHD Nasir memeriksa rampasan minuman keras dan rokok di kawasan pemeriksaan Kastam Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu. FOTO Juwan RIduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok dalam dua serbuan di Pelabuhan Tawau dan Kota Kinabalu, 13 dan 14 Disember lalu.

Serbuan yang dijalankan Cawangan Siasatan Khas dan Unit Operasi Penguatkuasaan serta Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) itu berjaya merampas keseluruhan barangan yang dianggarkan bernilai RM7.9 juta termasuk duti dan cukai.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, pihaknya merampas empat kontena berisi rokok dan minuman keras dianggarkan bernilai RM1.14 juta disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara untuk pasaran tempatan.

"Bagi kes pertama 13 Disember lalu, serbuan pada 7.20 malam itu berjaya menahan dua kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Tawau.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena berkenaan mengandungi 36,432 liter minuman keras bernilai RM218,227.68 manakala nilai duti serta cukai pula berjumlah RM568,069.12," katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, bagi kes kedua, pasukan operasi menahan dua kontena disyaki berisi minuman keras dan rokok seludup hasil penilaian risiko dan mesin pengimbas di Pelabuhan Sepanggar, di sini, pada 10.15 pagi.

"Hasil pemeriksaan awal, kontena berkenaan mengandungi 31,752 liter minuman keras dengan anggaran nilai RM104,781.60 dan RM466,278.12 bagi nilai duti serta cukai terlibat.

"Manakala, sebuah lagi kontena mengandungi 10.3 juta batang rokok putih bernilai RM824,000 dengan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM6.8 juta," katanya.

Menurutnya, modus operandi bagi kedua-dua kes ini dengan membuat pengikraran palsu sebagai barangan lain bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 4:26 PM