GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Tindakan lelaki dipercayai cuba memijak anak saudara perempuannya sambil memegang objek besi mengundang padah apabila ditahan di Tasik Tambahan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun berada di ruang tamu rumah dua tingkat berkenaan bersama keluarga.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku apabila suspek berusia 22 tahun turun dari tingkat atas rumah sambil memegang objek besi dan cuba memijak anak saudaranya itu.

"Akibat perbuatan berkenaan, mangsa menjadi takut kerana suspek menyatakan mahu memijaknya serta terdapat besi di tangan lelaki berkenaan.

"Mangsa yang juga anak keempat daripada enam beradik mengesyaki suspek berada di bawah pengaruh dadah lalu datang membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu polis menahan suspek yang tidak bekerja di rumah terbabit pada 7.30 pagi.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan mendapati lelaki itu mempunya rekod jenayah berkaitan dadah.

Katanya, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Motif kejadian masih dalam siasatan. Dipercayai suspek dalam keadaan halusinasi semasa kejadian dan akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 4:12 PM