GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tindakan seorang lelaki yang memecahkan tingkap rumah penduduk di Pandan Indah, di sini, menggunakan tukul besi mengundang padah apabila ditahan polis kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, suspek berusia 59 tahun bertindak memecahkan tingkap rumah terbabit ketika penghuninya tiada sebelum kejadian itu disedari jiran mangsa.

Jirannya itu meminta suspek berhenti melakukan perkara itu namun tidak diendahkan menyebabkan dia kemudian menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak berkata, polis yang menerima maklumat kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek.

Menurutnya, suspek dan barang kes kemudiannya diserahkan kepada unit peronda polis (MPV) Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan lanjut.

"Hasil semakan pihak polis mendapati suspek terbabit mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah namun tiada dalam senarai individu dikehendaki polis.

"Suspek kini ditahan lanjut untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 4:06 PM