Bangunan Ibu Pejabat TNB. FOTO Arkib NSTP
Bangunan Ibu Pejabat TNB. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila Ketua Pegawai Maklumat (CIO) syarikat utiliti negara itu, Datuk Fazil Ibrahim merangkul anugerah CIO Circle of Excellence Award Asia 2021 dalam kategori Perak.

Anugerah itu yang dianjurkan oleh CNBC, CISCO dan Moneycontrol adalah platform untuk mengiktiraf dan meraikan CIO berwawasan dari negara Asean, China, Korea, Jepun, India, Australia-New Zealand (ANZ) dan Pertubuhan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC) yang berjaya memacu syarikat mereka ke arah perniagaan berdaya tahan menerusi transformasi digital.

Fazil berkata, kejayaan itu bertepatan dengan usaha berterusan TNB ke arah pendigitalan bagi menyediakan infrastruktur dan keupayaan teknologi yang kukuh.

"Kami mampu bertindak pantas dengan memberi sokongan untuk bekerja dari rumah kepada hampir 35,000 warga kerja TNB di seluruh negara sejak awal lagi sebelum pandemik bermula," katanya dalam ucapan penerimaan anugerahnya baru-baru ini.

TNB menerusi kenyataannya berkata, kejayaan syarikat utiliti itu melaksanakan projek Webex Unified Communication dan Dual Sim Router adalah contoh terbaik terhadap keupayaan bertaraf dunia dan kecemerlangan teknologi yang dimiliki TNB, selaras dengan aspirasinya untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

Menerusi projek Webex Unified Communication, TNB berjaya mengurangkan kesan terhadap operasi dan produktiviti perniagaannya ketika pandemik melanda dengan memenuhi keperluan warga kerjanya untuk menganjurkan sesi mesyuarat, perjumpaan town hall, bengkel mahupun latihan.

Projek Dual Sim Router pula adalah satu kerjasama dengan divisyen Rangkaian Pembahagian dan juga ICT TNB yang memberi nilai tambah kepada TNB bagi mempercepatkan tempoh pemulihan bekalan kepada 9.4 juta pelanggannya menerusi penambahbaikan ketersediaan dan kependaman rangkaian.

Selain itu, Fazil berkata, hasil projek Dual Sim Router berjaya membantu TNB mencapai prestasi Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem atau SAIDI bertaraf dunia iaitu 44.95 minit pada Tahun Kewangan 2020.

Untuk rekod, SAIDI yang dicatatkan TNB pada 2019 ialah 48.13 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 11:36 AM