AKIO (berdiri,kanan) dan Ravindran (berdiri, dua dari kanan) bersama Abdul Latif (duduk, tengah) pada program Toyota Outrun di Bandar Rimbayu, Kota Kemuning, semalam. FOTO Faiz Anuar
AKIO (berdiri,kanan) dan Ravindran (berdiri, dua dari kanan) bersama Abdul Latif (duduk, tengah) pada program Toyota Outrun di Bandar Rimbayu, Kota Kemuning, semalam. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mengumpul dana berjumlah RM151,100 bagi Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menerusi penganjuran acara Toyota Outrun di Bandar Rimbayu, Kota Kemuning di sini, semalam.

Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran berkata, dana yang disalurkan kepada pertubuhan itu diperoleh hasil kutipan penyertaan dalam kalangan kakitangan, orang kurang upaya (OKU) dan orang awam dari seluruh negara.

“Lebih 3,000 peserta menyertai larian lapan kilometer sekitar Bandar Rimbayu termasuk 20 golongan OKU.

“Dana diraih sangat berguna kepada MPM untuk aktiviti mereka. Kami sentiasa mahu memberi lebih bantuan dan sokongan di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly dan Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama menyempurnakan pelepasan peserta larian jam 7.20 pagi.

Beliau turut menyerahkan replika cek sumbangan bernilai RM151,100 kepada Pengurus Besar MPM, G Mohan.

Ravindran berkata, menerusi usaha Start Your Impossible (SYI), UMWT memperkenalkan Dual Heroes Concept yang memberi perhatian kepada atlet tempatan yang menggalas cabaran di dua lapangan iaitu sukan dan kehidupan harian.

“Melalui konsep ini, syarikat memilih atlet paralimpik pertama Malaysia yang diangkat sebagai Atlet Tahunan 2016, Abdul Latif Romly sebagai duta.

“Abdul Latif dipilih sebagai duta bagi kempen SYI kerana pencapaian luar biasa ketika Paralimpik Musim Panas 2016, malah dunia menyaksikan beliau memecahkan rekod bagi acara lompat jauh T20 sebanyak tiga kali dalam sehari.

“Ini contoh persembahan paling bermakna bagi mengatasi segala kekurangan untuk terus mempamerkan semangat sukan dan kesungguhan untuk membawa perubahan sosial dalam perjalanan hidup,” katanya.

Sementara itu, Akio berkata, sejak penubuhannya UMWT giat melaksanakan pelbagai program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR), malah sempena Olimpik Tokyo 2020, Toyota Motor Corporation (TMC) memulakan kempen SYI.

“SYI kempen jangka panjang yang menggalakkan setiap orang melangkaui apa yang dirasakan mustahil dalam diri masing-masing.

“Sebagai menyokong matlamat TMC, UMWT mensejajarkan usaha CSR syarikat tahun ini dengan mewujudkan platform SYI melalui dua elemen, acara persembahan muzik untuk kebajikan, Toyota Classics, dan satu lagi, Toyota Outrun, acara larian untuk kebajikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 5:30 AM