Dr Mohd Daud (tengah) bergambar bersama Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPV) MAIWP Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain (kanan) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya selepas merasmikan lori unit vaksin bergerak pada majlis pelancaran Program Vaksin Bergerak MAIWP di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak Fasa E1 hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Mohd Daud (tengah) bergambar bersama Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPV) MAIWP Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain (kanan) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya selepas merasmikan lori unit vaksin bergerak pada majlis pelancaran Program Vaksin Bergerak MAIWP di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak Fasa E1 hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan memberi suntikan vaksin kepada 7,500 penerima menerusi pelancaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergeraknya bermula hari ini hingga 12 September depan.

Pengerusinya Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, inisiatif itu bertujuan membantu usaha kerajaan mempercepatkan imuniti kelompok bagi mencegah penularan Covid-19, dengan sasaran utama golongan asnaf yang juga penerima bantuan Baitulmal MAIWP dan belum menerima tarikh janji temu di MySejahtera.

"Kami cuba untuk menjadi pemudah cara dan mendekatkan lagi proses vaksinasi dengan masyarakat sedekat yang mungkin, terutama buat mereka yang uzur dan tua.

"Ada dalam kalangan masyarakat kita yang rasa susah dan jauh (untuk terima vaksin), jadi bila ada tawaran yang dekat dengan tempat tinggal, mereka terpanggil untuk datang," katanya kepada pemberita pada pelancaran program berkenaan, di sini, hari ini.

Mohd Daud berkata, PPV Bergerak itu akan beroperasi di empat lokasi di ibu kota yang juga berhampiran dengan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak, Dewan Serbaguna Air Panas Setiawangsa, Dewan Serbaguna Taman Maluri dan Pusat Komuniti Sri Petaling.

Sementara itu, penerima vaksin Ramli Darus, 69, menzahirkan rasa syukur kerana menerima vaksin dengan mudah dan lancar tanpa perlu bergerak jauh.

"Alhamdulillah semuanya lancar, sekejap sahaja dah selesai urusan vaksin," katanya.

Eksekutif insurans Mohd Mahathir Ahmad Tajuddin, 29, turut berasa lega kerana akhirnya menerima vaksin selepas terpaksa menolak tawaran sebelum ini kerana dijangkiti Covid-19.

"Sebenarnya saya sahaja yang dapat janji temu di MySejahtera, tapi dapat mesej boleh bawa tanggungan sekali, jadi saya bawa isteri untuk terima vaksin bersama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 2:19 PM