GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Penduduk Pulau Pinang berusia 18 tahun dan ke atas yang belum menerima janji temu vaksin boleh hadir ke 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini mulai esok.

10 PPV berkenaan ialah PPV SPICE CC; PPV Tapak Pesta Sungai Nibong; PPV Kompleks Sukan Balik Pulau; PPV Pusat Konvensyen Perda; PPV Dewan Millenium; PPV SP Arena; PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya; PPV Vangohh Eminent; PPV Dewan Sungai Bakap dan PPV Dewan Serbaguna Jawi.

Bagaimanapun, pemberian vaksin itu hanya khusus bagi warga Malaysia saja.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, waktu pengoperasian 10 PPV itu bermula jam 10 pagi.

"Tempoh masa pengoperasian yang ditetapkan adalah bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan kesesakan berasaskan prosedur operasi standard (SOP) di PPV yang tersenarai.

"Mereka yang ingin mendapatkan suntikan vaksin secara walk in perlu mematuhi beberapa kriteria iaitu mesti berusia 18 tahun dan ke atas; membawa MyKad bagi tujuan pengesahan warganegara; belum berdaftar atau belum terima janji temu MySejahtera.

"Vaksin ini juga diberikan secara siapa datang dulu dia dapat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penduduk juga diminta mengemaskini aplikasi MySejahtera sebelum ke PPV dan memastikan tidak bergejala, bukan kontak rapat serta bukan dalam tempoh kuarantin.

Berdasarkan rekod Jawatankuasa Jaminan Khas Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga semalam menunjukkan hampir 1.2 juta penduduk negeri ini menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Daripada jumlah itu, seramai 860,703 penduduk sudah lengkap menerima dua suntikan imunisasi berkenaan.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memberi komitmen untuk menambah baik pengurusan masa tindak balas atau 'response time' dari pusat panggilan bagi memantau pesakit Covid-19 atau kontak rapat kepada seseorang disahkan positif yang menjalankan kuarantin kendiri di rumah.

"Penambahbaikan itu adalah tempoh masa tindak balas dari pusat panggilan antara 24 hingga 48 jam mengikut kategori pesakit sama ada berisiko tinggi atau rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 3:15 PM