GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 26 pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang membabitkan daerah Gombak, Klang, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Kuala Lumpur sudah ditutup bermula semalam.

Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKAV) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pula ditutup bermula hari ini.

"Antara 26 PPV yang ditutup semalam adalah Dewan Alwy Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Gombak), Hotel Premiere Klang (Klang), Institut Pengurusan Peladang (Kuala Selangor), Persada Plus (Petaling), Dewan Seri Sekinchan (Sabak Bernam), Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi (Sepang), Kajang Mewah Club (Hulu Langat), Dewan Komuniti Serendah (Hulu Selangor) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (Kuala Lumpur).

"Selain itu, PPV Dewan Canselor, MSU (Petaling) pula akan ditutup esok, manakala PPV Mahsa University (Kuala Langat) akan ditutup pada 29 Ogos ini," katanya menerusi hebahan di Facebook, semalam.

Menurut kenyataan itu, dua lagi PPV iaitu Dewan MPSJ Puchong Indah dan Dewan Meranti 2, Seksyen U20 di Petaling pula akan ditutup pada 6 September nanti.

"Dua lagi PPV iaitu Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Dewan Sivik MBPJ di Petaling akan ditutup pada 30 September nanti," katanya.

JKAV juga memaklumkan bahawa PPV Stadium Nasional Bukit Jalil tidak lagi menerima walk-in bukan warganegara bermula semalam dan akan digantikan dengan vaksinansi melalui kaedah temu janji.

Untuk mendapatkan janji temu, individu perlu mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui MySejahtera, laman sesawang www.vaksincovid.gov.my atau hubungi talian 1800-888-828.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menetapkan bermula semalam hanya 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang akan menerima individu untuk mendapatkan suntikan vaksin secara terus tanpa janji temu atau walk-in.

CITF dalam kenyataan memaklumkan langkah itu diambil berikutan pihaknya mendapati kadar kehadiran warganegara Malaysia di PPV untuk pemberian vaksin secara terus itu semakin berkurangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 8:59 AM