GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Pulau Pinang akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja berusia bawah 18 tahun, mulai esok.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebagai permulaan vaksinasi itu membabitkan pelajar asrama berusia 16 hingga 17 tahun yang beralamat tetap di Pulau Pinang, tetapi berasrama penuh di luar negeri ini.

"Janji temu berkaitan akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan ibu bapa atau waris atau penjaga perlu hadir bersama.

"Selain itu, mereka dinasihatkan supaya membawa dokumen terutama borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 bagi memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Chow berkata, suntikan akan diberikan di PPV yang berdekatan dengan alamat rumah masing-masing mengikut janji temu dalam aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan memulakan proses memberi suntikan imunisasi kepada golongan remaja tanpa komorbid pada Khamis ini.

Menurutnya, enam PPV itu adalah PPV SPICE Convention Centre; PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya; PPV Vangohh Eminent Hotel; PPV Dewan Perda Convention Centre; PPV Dewan Millenium dan PPV Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 4:31 PM