APMM Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 40 bungkusan daun ketum seberat 400 kg bernilai RM72,000 di Kuala Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
APMM Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 40 bungkusan daun ketum seberat 400 kg bernilai RM72,000 di Kuala Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 400 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM72,000 di Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pihaknya menerima maklumat risikan berkaitan sindiket tempatan bergiat aktif menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran di kawasan berkenaan sebelum operasi dijalankan pada kedudukan 0.1 batu nautika, barat Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis, pada 6.45 pagi.

"Sebuah bot ronda APMM diatur gerak melakukan pengesanan dan serbuan menerusi Op Benteng Laut di perairan Perlis dan ketika rondaan dilakukan, anggota kami mengesan dua individu dalam keadaan mencurigakan baru selesai memunggah keluar muatan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum dari sebuah kenderaan Proton Waja ke pesisir pantai itu.

"Suspek dipercayai menunggu masa sesuai untuk muatan berkenaan diambil oleh bot bagi tujuan diseludup ke negara jiran melalui laluan laut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, suspek melarikan diri dengan meninggalkan bungkusan plastik hitam di lokasi.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemukan 40 bungkusan plastik hitam yang mengandungi bungkusan kecil disyaki daun ketum dengan anggaran berat 400 kg bernilai RM72,000.

"Nilai berkenaan adalah anggaran semasa di negara Thailand iaitu RM180 bagi sekilogram daun ketum berbanding pasaran tempatan yang dijual dengan hanya sekitar RM70 sahaja," katanya.

Mohd Shafie berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran yang dilakukan suspek adalah sama seperti sebelum ini iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot nelayan Thailand di sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Kesemua bungkusan daun ketum itu dibawa ke Jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan itu.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Ini adalah rampasan ke-11 membabitkan daun ketum pada tahun ini bagi APMM Zon Maritim Kuala Perlis dengan jumlah berat keseluruhan dianggarkan sebanyak 5,155 kg bernilai RM944,900.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:18 PM