SERAMAI 19 lelaki tempatan ditahan dalam Op Sarang IPD Klang Selatan. FOTO ihsan IPD Klang Selatan
SERAMAI 19 lelaki tempatan ditahan dalam Op Sarang IPD Klang Selatan. FOTO ihsan IPD Klang Selatan
Norzamira Che Noh


Klang: Pernah diserbu dua kali pada pertengahan tahun lalu, 'port' dadah di kawasan hutan di Telok Gong, Pelabuhan Klang dikesan kembali aktif.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tindakan sekumpulan individu warga tempatan itu terbongkar menerusi Op Sarang yang dijalankan di lokasi terbabit pada Isnin lalu.

"Hasil serbuan bermula 5 pagi itu, polis menahan 19 lelaki berusia 25 hingga 60 tahun termasuk seorang 'pusher'.

"Semasa serbuan dilakukan, semua suspek sedang leka melakukan aktiviti jual beli serta menghisap dadah.

"Untuk makluman, lokasi terbabit pernah diserbu dua kali pada pertengahan 2020 dan kita percaya mereka kembali aktif sekitar April lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, polis merampas kira-kira 36 gram dadah jenis heroin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM1,355.

Katanya, siasatan awal mendapati bekalan dadah itu diperolehi daripada seorang lelaki tempatan di kawasan berkenaan (Telok Gong) dan dijual dalam bentuk paket dengan harga RM15 hingga RM40.

"Kesemua suspek tidak mempunyai hubungan dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B/39A(1); Seksyen 12(2); Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 10:49 AM