Lelaki yang membawa anak tirinya (kanan) ditahan ketika membeli dadah semalam. FOTO Ihsan PDRM
Lelaki yang membawa anak tirinya (kanan) ditahan ketika membeli dadah semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nur Lela Zulkipli


LELAKI sanggup meredah kawasan semak bersama anak tirinya semata-mata mahu membeli dadah di Telok Gong, Pandamaran, Klang semalam.

Bagaimanapun tindakannya itu mengundang padah apabila dicekup polis dalam operasi Ops Sarang.

Operasi bermula 8.30 pagi itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penagih itu antara 11 lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

“Salah seorang penagih dadah ditangkap ketika membawa anak tirinya berusia enam tahun ketika hendak membeli dadah.

“Namun kanak-kanak lelaki itu sudah diserahkan kepada keluarganya supaya tidak terbabit dalam aktiviti berkenaan lagi,” katanya hari ini.

Semua tahanan berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun itu membabitkan warga Myanmar dan selebihnya warga tempatan.

Dalam operasi yang tamat 12.30 tengah hari itu, polis turut merampas 0.127 kilogram syabu serta 6.08 gram heroin dianggarkan bernilai RM10,500.

“Selain itu, siasatan juga mendapati kawasan semak yang dijadikan port itu mula aktif semula sejak tiga bulan lalu namun dengan operasi dari semasa ke semasa, kita akan terus membanteras kegiatan dadah ini,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Dalam kes berasingan, lelaki berusia 34 tahun disyaki pengedar dadah ditahan dengan rampasan dadah disyaki syabu 0.12 kilogram serta wang tunai RM460 di Taman Pandamaran Permai Pelabuhan Klang, semalam.

“Tangkapan dibuat 1 tengah hari. Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 3:43 PM