Seramai 11 ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Sarang di sekitar kawasan semak di bawah Jambatan Jalan Mayang Lagu, Pelabuhan Klang, di sini semalam. FOTO Ihsan PDRM
Seramai 11 ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Sarang di sekitar kawasan semak di bawah Jambatan Jalan Mayang Lagu, Pelabuhan Klang, di sini semalam. FOTO Ihsan PDRM
Ruwaida Md Zain


SEORANG lelaki cuba merempuh anggota polis narkotik menggunakan motosikal selepas nekad melarikan diri daripada ditahan dalam Ops Sarang di sekitar kawasan semak di bawah Jambatan Jalan Mayang Lagu, Pelabuhan Klang, semalam.

Bagaimanapun, ketangkasan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Klang Selatan berjaya menggagalkan cubaan lelaki itu melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam operasi bermula 7 pagi hingga 2 petang semalam, seramai 23 individu diperiksa dan sebelas daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, tiga daripada yang ditahan adalah pengedar dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB), manakala seorang lagi memiliki dadah disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB.

Katanya, polis turut menahan empat penagih yang disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 dan tiga lagi penagih dadah dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB.

“Semua yang lelaki yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 50 tahun.

“Polis turut merampas sejumlah 7.63 gram dadah heroin dan 5.08 gram dadah Syabu yang dianggarkan bernilai RM1,200.

“Hasil siasatan mendapati empat penagih yang ditahan positif dadah jenis MOP,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, lokasi serbuan yang menjadi sarang penagihan dadah itu sudah ditutup tahun lalu, namun kembali aktif pertengahan Januari tahun ini.

“Pada November lalu, ‘port’ (sarang penagihan dadah) itu sudah ditutup dengan tindakan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kepada pengedar dadah, namun diaktifkan semula pada pertengahan Januari lalu oleh pengedar dadah baharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 11:15 AM