Situasi ketika serbuan polis di sebuah kediaman di Setapak, Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu. Foto Ihsan PDRM
Situasi ketika serbuan polis di sebuah kediaman di Setapak, Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan pasangan suami isteri bahawa mereka dipukul sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju yang tular di media sosial semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan D Saralathan berkata, pihaknya mengesan hantaran mengandungi gambar serta laporan polis berhubung perkara itu yang dimuat naik menerusi akaun Facebook (FB), Gan Gong.

"Semakan yang dilakukan mendapati sepasukan anggota polis dari BSJN IPD Wangsa Maju melakukan serbuan di sebuah rumah di kawasan Setapak pada 4.40 petang, 25 Julai lalu.

"Semasa serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia 41 tahun bersama isterinya, 31, membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menjerit bagi mendapatkan perhatian penduduk sekitar.

"Mereka juga tidak memberikan kerjasama dan menghalang anggota bertugas menjalankan tugas sehingga berlaku pergelutan antara pihak polis dengan suami isteri terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saralathan berkata, kedua suspek berkenaan kemudiannya dibawa ke pejabat BSJN IPD Wangsa Maju untuk ujian saringan air kencing.

"Hasil ujian itu mendapati suspek lelaki positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala isterinya negatif dadah.

"Kedua-dua suspek turut ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan direman selama dua hari," katanya.

Beliau berkata, selepas dibebaskan dengan jaminan polis, pasangan terbabit kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 2.32 petang Sabtu lalu dengan mendakwa dipukul.

"Susulan laporan itu, satu kertas inkuiri polis dibuka bagi menyiasat tindakan polis sama ada mengikut peraturan serta undang-undang atau sebaliknya. Siasatan terperinci dan telus akan dijalankan.

"Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 8:23 PM