POLIS melakukan pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Nipah. FOTO Ihsan Polis
POLIS melakukan pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Nipah. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Majikan sebuah tapak pembinaan di Jalan Nipah, di sini, dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pekerja.

Tindakan itu diambil selepas pemeriksaan dilakukan menerusi Operasi Patuh Bersepadu di lokasi berkenaan bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan D Saralathan berkata, seramai 92 pegawai dan anggota polis, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terbabit dalam operasi berkenaan.

"Terdapat seramai 673 pekerja di tapak pembinaan berkenaan termasuk 578 warga asing.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati majikan mempunyai surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Bagaimanapun, majikan didapati tidak menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pekerja dan dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saralathan berkata, pemeriksaan dilakukan pihak JTK mendapati tiada perakuan penginapan daripada pihaknya dikemukakan majikan.

"Majikan juga didapati hanya menyediakan tilam yang tidak mengikut spesifikasi bagi separuh jumlah daripada 59 unit selain tidak menyediakan almari berkunci.

"Malah, bantal, selimut dan kipas dibeli sendiri oleh pekerja kerana ia tidak disediakan oleh majikan.

"Keadaan dalam bilik juga didapati tidak kemas dan bersih. Kuali dan periuk diletakkan di dalam bilik bersama bahan-bahan masakan selain tiada cecair pembasmi kuman disediakan di penginapan pekerja," katanya.

Beliau berkata, semakan rekod ke atas majikan ke atas projek di tapak pembinaan itu mendapati pekerja asing yang didaftarkan bersama Perkeso tidak dibayar caruman.

"Daripada 141 pekerja asing yang disemak, terdapat pekerja asing tidak mempunyai dokumen pengesahan yang lengkap dan tiada dokumen wajib perlu ada bekerja di Malaysia.

"Semakan ke atas salah satu subkontraktor mendapati pekerja mempunyai pasport dan permit, namun tidak didaftarkan dengan Perkeso," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan pihak JIM pula mendapati terdapat sebahagian kecil perkerja tiada mempunyai permit kerja yang sah.

"Selain itu, pihak DBKL turut mengeluarkan satu notis kompaun mengikut Seksyen 80 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana membina struktur binaan sementara (kantin) tanpa kebenaran.

"Pihak DBKL juga mengeluarkan satu notis kompaun mengikut Seksyen 47(2)(b) akta sama atas kesalahan jalan hadapan pintu utama kotor, lumpur dan berdebu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 9:46 PM