GAMBAR majlis perkahwinan yang diadakan di sebuah dewan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu yang tular menerusi aplikasi Instagram pada 27 Julai lalu. FOTO Tular
GAMBAR majlis perkahwinan yang diadakan di sebuah dewan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu yang tular menerusi aplikasi Instagram pada 27 Julai lalu. FOTO Tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang wanita dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran majlis perkahwinan di sebuah dewan di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Julai lalu.

Difahamkan, wanita berusia 36 tahun itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 10 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan D Saralathan berkata, pihaknya menerima laporan selepas gambar majlis perkahwinan itu tular menerusi aplikasi Instagram pada 1.59 tengah hari semalam.

"Semakan mendapati majlis perkahwinan itu berlangsung pada 27 Julai lalu dan terdapat individu yang berkumpul tanpa penjarakan sosial.

"Siasatan lanjut juga mendapati majlis berlangsung di sebuah dewan di Jalan Ampang dengan penganjur menyewanya daripada sebuah syarikat pengurusan majlis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saralathan berkata, wanita berkenaan sudah tampil bagi membantu siasatan kes terbabit, manakala individu-individu lain akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Siasatan menjurus kepada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Susulan laporan itu, siasatan dibuat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd Mirza Che Ab Wahi di talian 012-9457503 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Salina Zolkopli di talian 011-1234405 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Berdasarkan gambar yang tular, individu yang hadir ke majlis perkahwinan itu didapati tidak memakai pelitup muka selain tiada penjarakan fizikal ketika bergambar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 4:26 PM