Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai lapan individu dipercayai penganjur perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' di Dataran Merdeka, Sabtu lalu, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi memberi keterangan.

Semua individu terbabit datang bersama peguam masing-masing bermula 9.30 pagi tadi dan masuk ke perkarangan pada 10 pagi.

Polis menjangkakan seramai 11 individu akan diambil keterangan pada hari ini bagi membantu siasatan berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti 29 individu yang akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan berhubung penganjuran perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' di ibu negara, semalam.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya dalam proses mengesan beberapa lagi individu berdasarkan rakaman video dan gambar.

INDIVIDU yang dipercayai menyertai perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ Sabtu lalu bersama peguam masing-masing tampil memberi keterangan di IPD Dang Wangi. FOTO Zulfadhli Zulkifli
INDIVIDU yang dipercayai menyertai perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ Sabtu lalu bersama peguam masing-masing tampil memberi keterangan di IPD Dang Wangi. FOTO Zulfadhli Zulkifli

"Kami menerima lebih 20 laporan polis di seluruh negara bagi membantah penganjuran perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' yang diadakan di ibu negara, semalam.

"Semua individu yang terbabit diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 10:56 AM