TUJUH aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) hadir ke IPD Dang Wangi hari ini, untuk dirakam keterangan berkaitan himpunan kedua #Lawan yang dibatalkan pada 21 Ogos lalu.
TUJUH aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) hadir ke IPD Dang Wangi hari ini, untuk dirakam keterangan berkaitan himpunan kedua #Lawan yang dibatalkan pada 21 Ogos lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tujuh aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini, untuk dirakam keterangan berkaitan himpunan kedua #Lawan yang dibatalkan pada 21 Ogos lalu.

Mereka ialah Amir Abdul Hadi, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar, Mohamad Abdullah Alshatry, Qyira Yusri, Tharmalinggam Pillai, Dobby Chew dan Sara Irdina.

Mereka tiba di IPD Dang Wangi jam 10.15 pagi sebelum keluar dari perkarangan IPD berkenaan jam 11.30 pagi.

Mohammad Asraf berkata, pihaknya dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung perkara itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

"Sebelum ini, kami sudah dipanggil untuk disiasat di bawah akta yang sama," katanya ditemui di hadapan IPD Dang Wangi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan pihaknya memanggil aktivis terbabit bagi membantu siasatan.

Pada 13 Ogos lalu, kumpulan itu dipanggil oleh polis bagi membantu siasatan berkaitan peranan mereka dalam merancang demonstrasi kedua #Lawan di Dataran Merdeka.

Tindakan itu menyusul selepas kumpulan terbabit mengugut untuk mengadakan demonstrasi #Lawan pada 21 Ogos lalu sebagai menuntut Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur kerana didakwa gagal mengawal Covid-19.

Protes itu bagaimanapun dibatalkan selepas Muhyiddin berundur daripada jawatan berkenaan pada 16 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 1:40 PM