ANGGOTA bomba mengusung mayat reput yang tersangkut di pokok di Sungai Muda, hari ini. FOTO ihsan polis
ANGGOTA bomba mengusung mayat reput yang tersangkut di pokok di Sungai Muda, hari ini. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Mayat reput ditemui di Sungai Muda, Kampung Lesong 7, Padang Serai, di sini, hari ini.

Mayat itu ditemui nelayan berusia 43 tahun yang ketika itu sedang memukat ikan pada jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, berdasarkan maklumat yang dilaporkan pengadu, dia ternampak seekor biawak dan terhidu bau busuk di kawasan itu.

Beliau berkata, selepas diperiksa, terdapat mayat reput tersangkut di pokok di sungai berkenaan.

"Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk memaklumkan penemuan mayat berkenaan.

"Siasatan polis mendapati mayat itu berada 100 meter dari tebing sungai dan tersangkut pada pokok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, sepasukan anggota bomba dipanggil untuk membantu mengeluarkan mayat pada jam 2.35 petang.

Beliau berkata, mayat itu dipercayai berada di dalam air kira-kira lima hari.

"Mayat mempunyai tatu di lengan kanan dan tali warna merah di tangan kiri.

"Wajah pada mayat berkenaan tidak dapat dikenal pasti akibat reput," katanya.

Azhar berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim dan akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat esok.

"Sehubungan itu, saya menyeru sekiranya sesiapa yang kehilangan ahli keluarga tampil ke Balai Polis Padang Serai bagi membantu pengecaman mayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 8:08 PM