Siti Rohana Idris

Tanah Merah: Tindakan seorang pengedar dadah menyembunyikan sebahagian stok jualan di rumah neneknya bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila dia dicekup polis Rabu lalu.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di tepi jalan di Kampung Belimbing di sini, ketika sedang menunggu pelanggan dan susulan itu, polis membuat dua serbuan sebelum merampas 1.5 kilogram heroin yang dianggarkan bernilai RM380,000.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan aktiviti penjualan dadah dan pada kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, pihaknya mengesan suspek di tepi jalan di Kampung Belimbing.

Beliau berkata, ketika serbuan, suspek yang tidak bekerja itu mencampak sesuatu ke tanah dan cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

"Hasil pemeriksaan, barangan yang dicampak itu adalah 30 botol dadah jenis heroin seberat 198.5 gram yang dibungkus dalam kertas surat khabar.

"Susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke rumah neneknya di kampung sama dan pemeriksaan dalam sebuah bilik menemui satu beg galas yang mengandungi 10 botol berisi 59.2 gram heroin.

"Serbuan seterusnya dibuat di rumah suspek yang menemui 15 bungkusan yang mengandungi 150 botol dadah jenis heroin dalam beg plastik di tandas dan rampasan keseluruhan dadah adalah sebanyak 190 botol," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, hasil soal siasat suspek mengaku mengambil dadah itu daripada seorang lelaki warga Thailand di Sungai Golok dan dipercayai baharu tiga bulan aktif mengedar dadah.

Katanya, suspek baru tiga kali mendapatkan bekalan itu dan memandangkan isterinya berasal dari Rantau Panjang, mereka percaya lelaki itu mempunyai rangkaian dari negara jiran.

"Modus operandi yang dijalankan adalah mendapatkan bekalan menerusi pengkalan haram di Sungai Golok dan menyimpan di rumah sebelum menjual secara borong kepada pengedar dadah lain.

"Dadah dimasukkan ke dalam penyedut minuman sebelum dijual dengan harga antara RM30 hingga RM50 di sekitar Tanah Merah serta beberapa daerah berdekatan," katanya.

Zainuddin berkata, ujian saringan yang dibuat mendapati suspek negatif dadah serta hasil semakan juga tiada rekod lampau.

"Suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam hingga 24 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 4:25 PM
ZAINUDDIN (tengah) menunjukkan rampasan 1.5 kilogram heroin yang dianggarkan bernilai RM380,000 dalam dua serbuan pada sidang media di IPD Tanah Merah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZAINUDDIN (tengah) menunjukkan rampasan 1.5 kilogram heroin yang dianggarkan bernilai RM380,000 dalam dua serbuan pada sidang media di IPD Tanah Merah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar