CHOW Kon Yeow. FOTO Mikail Ong
CHOW Kon Yeow. FOTO Mikail Ong
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Tempoh kuarantin Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ditamatkan hari ini selepas keputusan ujian saringan Covid-19 yang dilakukan didapati negatif.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Tanjong itu sendiri dalam satu kenyataan media.

Kon Yeow berkata, beliau menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Jalan Perak, di sini pagi tadi sebelum mendapati beliau bebas Covid-19.

"Atas arahan dan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), saya boleh menamatkan tempoh kuarantin pada hari ini juga.

"Pandemik Covid-19 membawa impak begitu besar dan kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan kita semua terlindung daripada semua ancaman.

"Saya dengan ini mendoakan rakyat yang dijangkiti virus ini supaya cepat sembuh dan marilah kita berganding bahu bekerjasama serta menyuntik sokongan kepada barisan petugas hadapan kita dalam memerangi pandemik ini," katanya.

Ahad lalu, Kon Yeow diarahkan untuk menjalani kuarantin selepas seorang pegawai pengiringnya disahkan positif Covid-19.

Oleh itu, beliau tidak dapat menghadiri Persidangan Khas Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang berlangsung sejak Isnin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 4:14 PM