CHOW Kon Yeow
CHOW Kon Yeow
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sekali lagi menjalani kuarantin kendiri selama lima hari selepas didapati menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 ketika menghadiri satu majlis pada Sabtu lalu.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan tempoh kuarantin itu bermula semalam hingga Khamis ini susulan arahan yang diberikan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

"JKNPP turut mengarahkan beliau (Kon Yeow) menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pada hari ketiga daripada tempoh berkaitan iaitu esok.

"Ini termasuk beberapa individu berkaitan yang turut dikenal pasti sebagai kontak rapat," katanya.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan turut memaklumkan bahawa JKNPP giat menjalankan pengesanan kontak bagi mengelak penularan jangkitan.

"Mereka yang berkaitan akan dihubungi JKNPP dari semasa ke semasa bagi tindakan lanjut," katanya.

Pada 25 Julai tahun lalu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong menjalani kuarantin di rumah selepas seorang pegawai pengiringnya positif Covid-19.

Justeru, beliau tidak menghadiri persidangan khas Parlimen yang diadakan pada ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 2:13 PM