Chow Kon Yeow positif Covid-19.
Chow Kon Yeow positif Covid-19.
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow disahkan positif Covid-19 hari ini, berbaki empat hari menjelang ketibaan hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Berikutan itu, beliau yang sepatutnya merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2022 peringkat negeri di Komtar Walk di sini, turut didapati tidak menghadiri majlis berkenaan yang dijadualkan bermula 9.30 pagi hari ini.

Kon Yeow menerusi hantaran di Facebook berkata, menjalankan ujian saringan kendiri Covid-19 pada pagi hari ini dan turut berkongsi gambar Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) yang menunjukkan keputusan positif.

"Menjalankan ujian saringan kendiri Covid-19 pada pagi ini. Sudah memperoleh panduan serta nasihat daripada pasukan kesihatan dan diberikan ubat-ubatan bersesuaian.

"Saya mendoakan semua berada dalam kesihatan yang baik dan seboleh-bolehnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan diri, keluarga serta komuniti kita," katanya.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang merupakan penyandang Ahli Parlimen Tanjong dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Batu Kawan pada PRU-15 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 2:38 PM