FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mendapati 40 peratus rakyat negeri itu yang sepatutnya mendapatkan suntikan dos penggalak tidak hadir janji temu yang ditetapkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut data yang diberikan JKNPP sehingga semalam Pulau Pinang merekodkan 23,129 penerima yang sudah disuntik dos penggalak Covid-19.

"Bagaimanapun kira-kira 40 peratus daripada penerima janji temu dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera tidak hadir untuk menerima suntikan dos berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin mendedahkan kadar vaksinasi dos penggalak di Pulau Pinang amat perlahan berbanding negeri-negeri lain sejak negeri itu melaksanakan program pemberian dos berkenaan pada 18 Oktober lalu.

Kon Yeow berkata, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang bagi menangani wabak Covid-19 yang berlangsung pagi tadi memutuskan beberapa ketetapan dalam usaha meningkatkan kadar sedia ada.

"Ia adalah termasuk untuk menambah 26 fasiliti swasta baharu yang bakal tersenarai sebagai pusat pemberian suntikan dos penggalak tambahan berbanding 47 buah yang ada pada masa ini.

"Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut menerima dua permohonan untuk mewujudkan 'Health Care Organisation (HCO)' pusat pemberian suntikan dos penggalak di dewan yang lebih besar dengan kapasiti melebihi 1,000 suntikan sehari," katanya.

Jelasnya, pelbagai agensi juga berganding bahu dalam meningkatkan keyakinan masyarakat untuk mendapatkan suntikan dos penggalak berkenaan.

"Pada masa sama tumpuan turut diberikan kepada kes-kes suntikan dos kedua termasuk kes yang tercicir," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, JKNPP menekankan bahawa penularan jangkitan Covid-19 masih berlaku dalam komuniti termasuk peningkatan kes varian delta dan perlu mengambil langkah seperti disarankan.

"Secara keseluruhan, Pulau Pinang mencatatkan penurunan kes Covid-19 yang sangat ketara berbanding catatan tertinggi yang dilaporkan pada September lalu begitu juga trend kes kematian dan Brought in Death (BID) yang dilaporkan kini.

"Justeru, bagi memastikan ia terus terkawal, semua pihak khususnya mereka yang positif dan menerima perintah kuarantin di rumah menerusi aplikasi MySejahtera walaupun tanpa gelang merah jambu secara fizikal adalah ditegaskan supaya mengikut arahan dikeluarkan.

"Malah, masyarakat umum juga diseru supaya membuat laporan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sekiranya mengesan sebarang pelanggaran oleh individu-individu berkenaan," katanya.

Kon Yeow berkata, kepelbagaian pendekatan, strategi dan penyelarasan bersepadu yang dilaksanakan melalui pelbagai medium dan agensi dalam tempoh dua tahun berjaya meletakkan Pulau Pinang dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 November lalu.

"Namun rakyat negeri ini jangan tidak lalai dan leka kerana perjuangan menentang wabak Covid-19 belum berakhir memandangkan virus ini masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 3:13 PM