Megat Mohd Irash diiring anggota polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Megat Mohd Irash diiring anggota polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan merompak remaja perempuan berusia 17 tahun dan menyamar sebagai anggota polis.

Tertuduh, Megat Mohd Irash Mohd Zainuri, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak wang tunai RM50 milik mangsa di tepi jalan Kampung Rhu Rendang, Marang pada 1 tengah hari, 3 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu seorang anggota polis dengan membuat pemeriksaan lesen memandu terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 170 KK boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan, Nooriah menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Nooriah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 12:48 PM