RAJA Mohd Yusof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol pelajar sekolah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
RAJA Mohd Yusof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol pelajar sekolah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol pelajar sekolah yang dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp.

Tertuduh, Raja Mohd Yusof Raja Husin, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun lima bulan di sebuah rumah di Marang, jam 3 pagi pada 9 September 2021.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 12:41 PM