Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja, Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Nasiruddin A. Rahman, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Lelaki itu didakwa melakukan amang seksual ke atas mangsa yang ketika itu berusia 13.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di dalam kereta jenis Toyota Avanza ketika berada di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Lampin, Selama antara jam 5 hingga 6 petang 24 Disember tahun lalu.

MUHAMMAD Nasiruddin A. Rahman dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MUHAMMAD Nasiruddin A. Rahman dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Bagi kedua-dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 selain menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk bagi lantikan peguam.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki pada 11 Januari lalu selepas dipercayai merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenalinya melalui aplikasi laman sosial Instagram dalam kejadian di Selama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 5:42 PM