Sindak ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 di rumahnya yang terletak di Kampung Tombongon. FOTO YUN MIKAIL
Sindak ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 di rumahnya yang terletak di Kampung Tombongon. FOTO YUN MIKAIL
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Seorang nenek berusia 94 tahun terharu dengan komitmen petugas kesihatan yang memberikan suntikan vaksin dari rumah ke rumah pada Program Outreach Imunisasi Covid-19 Daerah Kota Kinabalu di Kampung Tombongon, Manggatal di sini, hari ini.

Program itu membabitkan pemberian suntikan vaksin dari rumah ke rumah di lokasi perkampungan luar bandar sekitar bandar raya ini, antaranya Kampung Talungan, Kolosunan, Babagon Toki, Kiansom Kecil, Pinahawon dan Ruminding.

Sindak Zaitan berkata, program itu cukup bermakna buat dia dan cucunya berusia 30-an yang juga orang kurang upaya (OKU) kerana menghadapi kesukaran untuk mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar kampung mereka.

Katanya, walaupun tiada penyakit kronik, dia tidak mampu berjalan jauh berikutan faktor usia, manakala cucunya yang OKU pula menghidap penyakit sawan.

"Terima kasih sebab sudi datang rumah berikan vaksin kepada saya dan cucu OKU.

"Mereka (petugas kesihatan) sanggup datang jauh semata-mata untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk kampung, kami terharu dan dalam masa sama teruja dapat divaksin," katanya ketika ditemui, hari ini.

Lebih 1,000 penduduk membabitkan penduduk di enam perkampungan itu menerima suntikan vaksin Covid-19, selain ada yang menerima secara walk in di lokasi yang ditetapkan di perkampungan penduduk itu.

Program itu anjuran bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Norly Yakim, 46, menyambut baik pendekatan petugas kesihatan pemberian vaksin dari rumah ke rumah itu berikutan ibu mentuanya, Kampadit Sambang, 88, sudah terlalu uzur dan tidak boleh berjalan.

Katanya, ia usaha bagus dan perlu diteruskan terutama untuk memastikan masyarakat yang tinggal jauh dari kawasan bandar tidak tercicir dalam program vaksinasi kebangsaan.

"Ibu mentua saya sendiri sudah tua dan menghidap darah tinggi sehingga mengakibatkan dia tidak boleh berjalan.

"Dia (ibu mentua) sendiri tidak sabar untuk mendapatkan suntikan selepas dimaklumkan suami beberapa hari lalu.

"Syukur setakat ini dia tidak mengalami sebarang kesan sampingan sejurus menerima vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:23 PM