LONG Tiger ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini. FOTO ihsan polis
LONG Tiger ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini. FOTO ihsan polis
Essa Abu Yamin


LELAKI Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang mencetuskan kontroversi melalui beberapa sesi siaran langsung di Facebook (FB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini, atas dakwaan pemerasan.

Tertuduh yang berusia 34 tahun itu didakwa kerana melakukan pemerasan terhadap seorang individu kira-kira jam 4 petang, pada awal Oktober 2019, di sebuah restoran di Bukit Gambir, Tangkak.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada individu dengan cara akan membuat laporan polis ke atas individu berkenaan yang melakukan hubungan intim bersama gadis bawah umur sekali gus memaksa individu terbabit menggugurkan laporan polis ke atas tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Norina Maludin membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan tanpa cagaran dan sebutan semula kes pada 1 Jun ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali.

Dalam pada itu, isteri Long Tiger dan anak perempuan mereka kelihatan hadir ke mahkamah bersama seorang individu yang dipercayai saudaranya bagi urusan jaminan.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan penahanan semula Long Tiger bersabit kes dilaporkan di Tangkak, Sabtu lalu, membabitkan elemen pemerasan.

Berita berkaitan

Ramai lapor perbuatan Long Tiger

Tiada justifikasi kukuh sambung reman Long Tiger [METROTV]

Long Tiger pemegang kad UNHCR, fitnah polis [METROTV]

Long Tiger dah kena tangkap

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 9:32 PM