Keadaan kilang pembuatan besi di kawasan perindustrian Gong Badak yang musnah dalam kebakaran. FOTO IHSAN BOMBA
Keadaan kilang pembuatan besi di kawasan perindustrian Gong Badak yang musnah dalam kebakaran. FOTO IHSAN BOMBA
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kilang pembuatan besi menanggung kerugian hampir RM8 juta selepas musnah dalam kebakaran di kawasan perindustrian Gong Badak di sini, petang tadi.

Kejadian dipercayai berlaku 3 petang itu ketika pekerja di kilang berkenaan sedang melakukan kerja-kerja pemotongan besi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohd Mazimi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 3.19 petang sebelum lima jentera bersama 45 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kilang berkenaan sudah terbakar hampir 80 peratus sebelum kerja-kerja mengawal dan memadam kebakaran giat dijalankan.

"Kita berdepan sedikit kesukaran untuk memadam kebakaran di kilang berkenaan dan terpaksa membuat laluan lain untuk masuk bagi membolehkan pasukan kita mengawal api daripada terus merebak.

"Selain itu, terdapat bahan-bahan yang mudah terbakar dan besi-besi di dalam kilang berkenaan yang turut menyukarkan kerja-kerja pemadaman dilakukan.

"Bagaimanapun, kita berjaya mengawal kebakaran kira-kira 30 minit kemudian dan ketika ini, kerja-kerja pemadaman masih dijalankan.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 8:24 PM