ANGGOTA polis dan ATM memeriksa surat kebenaran rentas negeri di Sekatan Jalan Raya (SJR). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA polis dan ATM memeriksa surat kebenaran rentas negeri di Sekatan Jalan Raya (SJR). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan orang ramai merentas negeri khususnya menjelang sambutan Aidiladha bertujuan memastikan kes positif dari kluster komuniti susulan sambutan perayaan dapat dibendung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat dinasihatkan supaya mematuhi arahan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tidak merentas negeri untuk menyambut Aidiladha.

"Larangan rentas negeri, begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan dalam suasana pandemik bukan bermakna kita tidak menyayangi ibu bapa dan keluarga yang berada di kampung halaman.

"Sebaliknya, ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi insan-insan yang dikasihi dan disayangi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan mereka yang ingkar mematuhi arahan.

"Semalam, PDRM yang mengawal rentas daerah dan negeri memeriksa sebanyak 381,952 kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

"Untuk rekod, jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi dicatatkan pada 16 Julai, iaitu sebanyak 4,839 sejak PPN dilaksanakan.

"Peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah pada Aidilfitri lalu perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Mengulas berhubung penguatkuasaan di sektor perkilangan dan premis perniagaan, Ismail Sabri berkata, sebanyak 74,793 pemeriksaan dan 'snap check' (pemeriksaan mengejut) Covid-19 di seluruh negara.

"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,993 buah kilang, 16,569 premis perniagaan, 506 tapak pembinaan dan 243 asrama penempatan pekerja.

"Hasil daripada pemeriksaan itu, sebanyak 62 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 8:41 PM