Suzalina Halid dan Faris Fuad

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengumumkan sama ada akan membuat pemeriksaan mengejut rumah ke rumah esok sempena sambutan Aidiladha, kata Datuk Seri Ismail Yaakob.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diputuskan PDRM kerana tindakan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada di bawah bidang kuasa pasukan keselamatan itu.

"Sekarang ini, sekatan jalan raya diperketatkan. Semalam sahaja, ramai (pengguna jalan raya) diarahkan patah balik (kerana tiada surat kebenaran).

"Polis akan lebih tegas sebab esok raya (Aidiladha). Berkenaan pemeriksaan rumah ke rumah pula akan diumumkan pihak polis," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Mindef (Kementerian Pertahanan) Prihatin, di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Semalam, PDRM melaporkan sebanyak 381,952 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya seluruh negara.

Untuk rekod, jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi dicatatkan pada 16 Julai lalu, iaitu sebanyak 4,839 sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.

Mengenai isu menteri melanggar SOP PKP, Ismail Sabri berkata, semua individu tidak kira latar belakang akan dikenakan kompaun jika didapati melanggar SOP berkenaan.

"Baru-baru ini ada seorang menteri dikompaun RM1,500. Polis dan agensi berkaitan ada kuasa untuk mengambil tindakan mengikut akta sedia ada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 2:21 PM