DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah diwartakan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan SOP Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan sejak 25 Jun 2021 sehingga 1 Julai 2021, 726 premis dikompaun manakala 75 lagi diarahkan tutup.

Beliau berkata, ia membabitkan sebanyak 132,633 premis perniagaan, kilang dan asrama pekerja yang sudah diperiksa dalam tempoh itu.

"Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan sudah melaksanakan 97,561 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,781 orang.

"Semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan 2,719 pemeriksaan ke atas kilang, 15,981 premis perniagaan dan 94 asrama penempatan pekerja.

"Daripada jumlah itu, lima kilang dan 10 premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 97,561 pemeriksaan semalam.

"Ia membabitkan 4,725 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 20,781 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semalam, 636 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 597 individu dikompaun manakala 39 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (182), tiada penjarakan fizikal (116), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (94) dan tidak memakai pelitup muka (89)," katanya.

Beliau berkata, kesalahan lain direkodkan ialah tidak patuh arahan kawalan pergerakan (54), membawa penumpang berlebihan (25), premis gagal patuhi arahan (14) serta enam kesalahan aktiviti pusat hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 7:21 PM