TIGA suspek yang ditahan polis kerana disyaki memecah masuk sebuah kilang kitar semula di Bakar Arang. FOTO Ihsan PDRM
TIGA suspek yang ditahan polis kerana disyaki memecah masuk sebuah kilang kitar semula di Bakar Arang. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam cubaan memecah masuk sebuah kilang kitar semula di kawasan perindustrian Bakar Arang di sini, Khamis lalu ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua mereka ditahan di sekitar daerah ini pada 3 pagi.

Menurutnya, pemilik kilang berusia 25 tahun itu mengesyaki sesuatu mencurigakan selepas penggera melalui telefon bimbitnya berbunyi pada 5.30 pagi.

Katanya, selepas melihat kamera rakaman litar tertutup (CCTV) pada telefon bimbitnya terdapat seorang lelaki dilihat menceroboh masuk dalam kawasan kilangnya dan cuba memecahkan pintu premis itu.

"Sejurus melihat CCTV, dia terus menghubungi pekerjanya dan mengarahkan segera ke kilang terbabit.

"Pengadu kemudiannya tiba di kilangnya pada 5.45 pagi, seorang lelaki yang berada di atas motosikal di luar kilang terus melarikan diri sebaik melihat pemilik premis itu.

"Suspek yang berada dalam kilang itu juga cuba melarikan diri dengan melompat pagar kilang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, pada masa sama pemilik kilang itu bersama pekerjanya mengejar suspek sejauh 500 meter dan berjaya menahannya.

Beliau berkata, rakan suspek kemudiannya datang membantu sehingga berlaku pergelutan menyebabkan kedua lelaki terbabit berjaya melarikan diri.

"Pemilik kilang itu mengalami luka serta lebam ketika bergelut dan rakan suspek juga dipercayai menggunakan kayu ketika pergelutan itu," katanya.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati kilang itu tidak beroperasi sejak Mei lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kilang itu tidak berada di bawah zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada barangan didapati hilang dari kilang berkenaan," katanya.

Adzli berkata, berdasarkan rekod kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Katanya, dua daripada suspek direman empat hari, manakala seorang lagi direman enam hari untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 511 Kanun dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 3:05 PM