FOTO Mohd Khidir Zakaria
FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang peniaga telefon bimbit parah akibat ditetak dua lelaki berparang di kepala dalam kejadian di sebuah premis di Bandar Port Dickson, di sini, petang ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian 2.30 petang, mangsa berusia 24 tahun bersama adik perempuannya berada di premis itu.

Katanya, datang dua lelaki berpura-pura mahu membeli telefon bimbit dan seorang daripadanya cuba merampas beg milik mangsa.

"Sebaik menyedari suspek mahu melarikan beg mengandungi barangan berharga, peniaga itu cuba melawan.

"Dalam pergelutan, mangsa parah ditetak di kepala oleh penjenayah berkenaan," katanya.

Adzli berkata, sejurus mendapat beg terbabit, suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

"Polis sedang menjalankan buruan terhadap suspek mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:28 PM