Polis memeriksa kedai emas yang dipecah masuk penjenayah. FOTO Muhammad Mustakim Ramli
Polis memeriksa kedai emas yang dipecah masuk penjenayah. FOTO Muhammad Mustakim Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


KEDAI emas di Jalan Ibrahim, Sungai Petani, sekali lagi menjadi sasaran penjenayah apabila dipecah masuk kali ketiga, pagi hari ini, dalam tempoh tidak sampai dua bulan.

Bagaimanapun, dalam kejadian 4.45 pagi itu, suspek gagal melarikan barangan kemas di premis itu kerana panik selepas penggera keselamatan berbunyi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek dipercayai masuk ke kedai berkenaan melalui tiang telefon belakang kedai dan turun ke dalam kedai melalui bumbung.

“Kami percaya suspek lelaki turun ke arah dapur sebelum naik semula ke atas bumbung selepas didapati pintu dapur yang menghubungkan pejabat berkunci.

“Suspek kemudian turun semula dan menebuk dinding papan lapis di tepi tangga untuk turun terus ke bahagian dalam, namun penggera berbunyi menyebabkan suspek melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Adzli berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek yang berambut panjang, berkulit cerah, memakai seluar paras betis, berbaju corak kotak dan membawa beg sebelum itu diturunkan dari motosikal Honda EX5 berwarna gelap.

“Siasatan forensik polis menemui enam cap jari pada dinding papan lapis, serpihan dinding pecah, laci meja kayu dan tiga kesatan peluh pada jeriji besi tingkap, tempat dipercayai digunakan suspek turun ke dalam bangunan.

“Tiada sebarang alat yang digunakan suspek dijumpai di tempat kejadian dan kerugian kerosakan dianggarkan RM2,000,” katanya sambil menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini Harian Metro pada 15 Disember lalu melaporkan kedai emas kerugian kira-kira RM200,000 selepas disamun pada 2.50 petang.

Dalam kes kedua pada 21 Januari lalu pula, suspek gagal membawa lari barangan kemas kerana melarikan diri selepas penggera keselamatan berbunyi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 3:16 PM