GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Lelaki ditahan polis kira-kira tiga jam selepas melarikan tabung kutipan derma yang diletakkan di atas kaunter bayaran di sebuah restoran di Taman Berangan di sini, semalam.

Kejadian itu disedari pada 2.48 petang oleh pemilik restoran itu dan kemudiannya menghantar mesej WhatsApp kepada pengadu berusia 43 tahun yang juga Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir yang dilantik sebagai pengutip derma pembinaan surau sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran berkenaan mendapati tabung derma terbabit dilarikan seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal Yamaha LC pada 2.30 petang.

Menurutnya, lelaki itu didapati masuk ke dalam restoran dan mengambil tabung berkenaan yang mempunyai wang tunai kira-kira RM250.

"Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis berhubung kejadian itu tidak lama kemudian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Adzli berkata, suspek kemudiannya ditahan pada 5.30 petang oleh pekerja restoran itu yang terserempak dengan lelaki berkenaan di Jalan Batu 2 di sini.

"Pekerja terbabit mengecam suspek dan motosikal yang digunakan berdasarkan rakaman CCTV yang disebarkan.

"Suspek ketika itu berada pada jarak kira-kira lima kilometer dari restoran berkenaan sebelum lelaki berkenaan dibawa ke restoran terbabit dan kemudiannya diserah kepada polis," katanya.

Adzli berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan berusia 41 tahun serta tidak bekerja itu beralamat di Kampung Paya, Pulau Pinang.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

"Dia direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 6:57 PM