HAMIDAH
HAMIDAH

Klang: “Tergamak dia (suspek) mendera sebelum membunuh anak saudara saya tanpa perikemanusiaan. Apa dosa Aidil (mangsa) terhadap lelaki itu. Anak saudara saya seorang budak yang sangat baik dan senang dijaga, malah mendengar kata,” kata bapa saudara kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang mati dipercayai didera dan dipukul, petang kelmarin.

Beliau yang enggan dikenali berkata, arwah mesra dengan panggilan Aidil itu pernah tinggal bersama datuknya di Mentakab, Pahang namun diambil ibunya sebulan lalu.

“Saya terkejut apabila mendapat berita kejadian berkenaan malam semalam (kelmarin) dari ibu mangsa sendiri yang kini berada di hospital kerana menunggu hari untuk bersalin.

“Tindakan dia (suspek) jelas tidak waras. Kakak saya mengambil Aidil untuk dijaga sendiri berikutan ayah sedang menunaikan umrah,” katanya.

Suasana hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik HTAR apabila ahli keluarga mangsa hadir bagi menuntut jenazah jam 4 petang sebelum dikebumikan di kampung ibunya di Mentakab.

Ibu saudara mangsa, Hamidah Mohd Yusof, 33, berkata, ayah kandung mangsa, Affendi Mohd Yusof, 40, yang berada di Kuala Krai, Kelantan, memohon bantuannya untuk melihat keadaan jenazah anaknya itu.

“Abang (Affendi) menghubungi saya jam 7 pagi tadi (semalam) bagi memaklumkan kejadian berkenaan dan minta saya ke sini (Jabatan Forensik) kerana dia sendiri tidak sanggup untuk hadir.

“Saya tidak pernah berjumpa dengan mangsa kerana abang bercerai dengan isterinya selepas mangsa dilahirkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 9:32 AM