Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera, dilihat terduduk ketika menatap wajah anak bongsunya itu buat kali terakhir.

Wanita berusia 39 tahun yang masih berada dalam tahanan Penjara Simpang Renggam, Kluang diberi peluang kira-kira lima minit melihat jenazah kanak-kanak itu selepas selesai dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.

Wanita yang memakai pakaian tahanan warna ungu itu turut dilihat menangis sebaik keluar dan menuju ke van Jabatan Penjara Malaysia sambil diiringi dua pegawai.

Difahamkan, ibu kepada 11 orang anak itu hanya diberitahu mengenai kejadian menimpa anaknya itu sebaik tiba di bilik mayat kerana pegawai penjara mahu mengawal emosinya itu sepanjang dalam perjalanan dari penjara.

Sementara itu, datuk saudara kepada kanak-kanak terbabit terkilan dan sebolehnya mahu 'menyimpan' kanak-kanak berkenaan jika tahu keadaan seumpama itu bakal berlaku.

Katanya, dia tidak menyalahkan ibu kepada cucu saudaranya itu tetapi terkilan kerana kanak-kanak itu tidak diserahkan semula kepadanya atau kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila wanita itu ditahan semula polis pada September lalu.

"Saya betul-betul terkilan. Kalau saya tahu perkara ini nak berlaku, memang saya 'simpan' dia, tak mahu serah pada ibunya.

"Ketika itu, saya diberitahu ibu arwah dah pulih, dah dilepaskan (daripada tahanan) dan dia mohon mahu jaga anak dia, saya dan JKM berbincang dan beri peluang kepadanya.

"Sepanjang dalam jagaan ibunya selama sebulan, saya difahamkan keadaan arwah baik. Saya juga bertanya khabar hampir setiap hari dan mereka maklumkan arwah sihat dan semuanya 'okay'.

"Tetapi, lama-kelamaan saya gagal hubungi ibu arwah dan apabila saya dimaklumkan mengenai kejadian menimpa arwah, saya baharu dapat tahu yang ibu arwah ditahan semula dan arwah dijaga oleh kakaknya," katanya yang ditemui ketika hadir menuntut jenazah kanak-kanak itu di HSI.

Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dipercayai didera, diiringi pegawai penjara untuk melihat jenazah kanak-kanak itu di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dipercayai didera, diiringi pegawai penjara untuk melihat jenazah kanak-kanak itu di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Dia yang juga bapa saudara kepada bapa kanak-kanak itu adalah individu yang diberikan hak penjagaan sementara oleh JKM selepas ibu bapa kanak-kanak itu ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara akibat kes dadah.

Bapa kanak-kanak yang berusia lingkungan 40-an itu juga kini berada dalam tahanan Penjara Sungai Udang, Melaka.

Lelaki itu yang turut menjaga seorang lagi adik-beradik arwah berkata, dia reda dengan kejadian menimpa cucu saudaranya dan akan menyelesaikan amanah dan tanggungjawab diberikan kepadanya sehingga ke proses pengebumian.

"Saya pernah menjaga arwah selama sebulan ketika dia baharu lahir sebelum JKM menjaganya selama tiga tahun.

"Kemudian saya diberi hak penjagaan lagi selama sebulan sebelum diserahkan kepada ibu arwah.

"Jadi pada saya, biarlah saya yang menguruskan jenazahnya kerana saya menyayanginya sejak masih bayi lagi. Saya reda, perkara sudah berlaku," katanya yang akan membawa pulang jenazah ke Labis, Segamat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatom.

Dia turut berharap siasatan polis terhadap insiden yang meragut nyawa cucu saudaranya itu dijalankan seadil-adilnya dan mereka yang terbabit diberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia pada Isnin lalu selepas tiga hari dirujuk ke HSI akibat pengsan di rumahnya dekat Senggarang, Batu Pahat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 4:51 PM