Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Proses penjadualan pemberian vaksin Covid-19 bagi kumpulan pertama pemandu teksi, e-hailing dan penunggang p-hailing yang membabitkan lebih 50,000 orang dalam perkhidmatan berkenaan sudah dimulakan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan sudah menerima senarai nama daripada pengendali dan syarikat perkhidmatan berkenaan pada pertengahan Jun lalu dan kumpulan pertama itu membabitkan kira-kira 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing.

Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh untuk menyegerakan proses vaksinasi pemandu teksi, e-hailing dan p-hailing, Wee melalui Facebook beliau hari ini berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memaklumkan mengenai jadual vaksinasi kumpulan terbabit.

Menurutnya, senarai tambahan 57,931 penunggang p-hailing juga sudah diserahkan untuk pertimbangan CITF.

Memahami situasi pandemik COVID-19 ketika ini, Wee berkata, pihaknya mensasarkan lebih 300,000 pemandu pengangkutan awam termasuk perkhidmatan p-hailing di Lembah Klang menerima suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 3:18 PM