GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Batu Pahat: Seramai 107,000 pekerja barisan hadapan dalam sektor pengangkutan dijangka menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 sebelum akhir Ogos ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sasaran itu merangkumi ketiga-tiga sektor pengangkutan iaitu darat, laut dan udara.

Beliau berkata antara diberi keutamaan adalah pekerja di kawasan lapangan terbang, pelabuhan dan depoh Syarikat Prasarana Negara Bhd, yang mengurus rangkaian pengangkutan awam seperti bas dan rel.

"Bagaimanapun, jumlah ini tidak termasuk pemandu teksi dan e-hailing serta p-hailing yang akan mendapat suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) komuniti setempat.

"Kita mempunyai senarai nama mereka ini, walaupun mereka akan mendapatkan suntikan di PPV komuniti setempat, kita juga akan membantu mereka mendapatkan suntikan segera," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi hari pertama PPV Integrasi Che Ann Khor, Yong Peng, dekat sini hari ini.

Wee berkata pihaknya ada berbincang dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini untuk memvaksinkan 250,000 petugas dan mereka yang terbabit dalam sektor pengangkutan di negara ini.

Mengenai PPV Integrasi Che Ann Khor itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata ia akan dibuka selama enam minggu dengan memfokuskan pemberian vaksin Covid-19 kepada penduduk sekitar parlimen itu terutamanya golongan warga emas.

PPV itu mampu memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada 2,000 individu sehari dan bagi hari ini, seramai 998 individu dijadualkan menerima vaksin tersebut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 4:58 PM