GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kuala Lumpur: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan yang mewajibkan penghantar p-hailing memiliki lesen memandu vokasional (GDL).

Presiden PENGHANTAR, Zulhelmi Mansor berkata, walaupun pihaknya belum mendapat penjelasan dan penerangan berkaitan polisi itu, namun beliau yakin ia akan membebankan penghantar p-hailing.

Selain itu katanya, motosikal akan dikategorikan sebagai kenderaan perdagangan dan akan menyebabkan kos penghantar menjadi lebih tinggi kerana membabitkan Polisi Insurans Kenderaan Perdagangan.

"Motosikal penghantar p-hailing juga akan mengalami susut nilai apabila hendak dijual semula, manakala proses untuk menukar semula status kenderaan perdagangan ke status kenderaan peribadi adalah rumit," katanya di sini, hari ini.

Zulhelmi berkata, industri sektor ekonomi gig p-hailing adalah industri pekerjaan fleksibel serta tidak mengganggu industri sektor lain, seperti sektor ekonomi gig e-hailing yang mengganggu industri teksi dan kereta sewa.

Malah katanya, sehingga kini dapat dilihat pelaksanaan Lesen Kenderaan Pengangkutan (PSV) yang diwajibkan kepada pemandu e-hailing sehingga kini masih dalam keadaan yang bermasalah.

"Kerajaan seharusnya menjiwai denyut nadi rakan-rakan penghantar yang juga sebahagian daripada Keluarga Malaysia dan turut terbeban dengan ketidakstabilan ekonomi masa kini.

"Kerajaan juga seharusnya memberi penghargaan kepada penghantar p-hailing yang juga adalah sebahagian daripada petugas barisan hadapan negara dalam membantu kerajaan dan rakyat ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19," katanya.

Katanya, PENGHANTAR juga berhasrat mengadakan sesi pertemuan bersama Kementerian Pengangkutan bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan pelaksanaan berkenaan.

"PENGHANTAR akan bersama Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda Pergerakan Pemuda Malaysia (PPUM) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga akan mengambil langkah drastik dan berharap campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 11:49 AM