JENAZAH bayi perempuan berusia enam bulan yang meninggal dunia akibat Covid-19  selamat dikebumikan, semalam. FOTO ihsan APM
JENAZAH bayi perempuan berusia enam bulan yang meninggal dunia akibat Covid-19 selamat dikebumikan, semalam. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Sukar saya melupakan detik memangku jenazah bayi perempuan berusia enam bulan selama hampir satu jam, petang semalam kerana teringat anak-anak di rumah," kata Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib.

Penolong Pegawai Bahagian Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah itu bertanggungjawab untuk menguruskan jenazah pesakit Covid-19 di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar.

Mohd Shukri berkata, detik berkenaan amat meruntun hatinya sepanjang menguruskan jenazah pesakit Covid-19, tetapi perlu melaksanakan tugasnya sehingga selesai.

Katanya, setiap hari, dia bersama anggota APM Kedah membantu pihak hospital dalam menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

"Paling sedih apabila saya memangku jasad bayi berkenaan yang diletakkan dalam 'polibeg' untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chegar, Jitra, kira-kira 11 pagi semalam.

"Ketika itu hujan renyai dan saya bersama sepasukan anggota APM selamat menyempurnakan jenazah bayi berkenaan tanpa kehadiran keluarganya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ibu bayi berkenaan berusia 20-an masih ditahan di wad kerana positif Covid-19 manakala bapanya sedang dikuarantin.

Katanya, mereka hanya menghubungi ibu bapa bayi itu selepas pengebumian jenazah selesai kerana tidak dapat membuat panggilan video secara langsung disebabkan keselamatan diri.

"Ibu bapa bayi itu tidak dapat menahan sebak dengan apa yang berlaku, namun semua itu urusan Allah.

"Setiap hari, saya dan anggota APM menguruskan pengebumian sekurang-kurangnya empat jenazah dan paling banyak pun lapan orang yang meninggal dalam sehari akibat Covid-19," katanya.

Menurutnya, antara pengalaman tidak dapat dilupakan ketika melihat waris keluarga terpaksa duduk jauh melihat jenazah disempurnakan ke liang lahad buat kali terakhir.

Katanya, perasaan sedih timbul mengenangkan keadaan mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19 ini.

"Kami juga faham perasaan mereka, namun demi tugas kami terpaksa kuat walaupun dalam hati terasa rindu untuk bersama anak-anak dan isteri," katanya.

Mohd Shukri turut menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak lebih ramai dijangkiti Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 3:44 PM