BALI adalah destinasi percutian popular untuk warga asing. FOTO AFP
BALI adalah destinasi percutian popular untuk warga asing. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Dua warga Ukraine dan seorang rakyat Rusia berdepan hukuman mati di Indonesia selepas polis menyerbu makmal dadah yang disyaki di pulau peranginan popular Bali, kata polis pada Isnin.

Pihak berkuasa berkata, empat suspek termasuk seorang warga Indonesia juga sudah ditahan awal bulan ini di sebuah vila di pulau itu.

Mereka didakwa mengendalikan makmal pembuatan ganja hidroponik dan mephedrone.

Menerusi kenyataan media, Ketua Agensi Penyiasatan Jenayah Indonesia, Wahyu Widada berkata, suspek warga Ukraine yang hanya dinamakan sebagai IV dan MV, bertanggungjawab mengeluarkan dan mencampur bahan untuk mengeluarkan dadah.

Menurutnya, suspek warga Rusia yang dikenali sebagai KK ialah seorang pemasar dadah di bawah rangkaian bernama Hydra.

"Semuanya didakwa atas kesalahan dadah yang membawa hukuman maksimum iaitu hukuman mati dan denda AS$622,000 (kira-kira RM2.9 juta).

"Polis merampas sekurang-kurangnya 10 kilogram (kg) ganja hidroponik, 684 gram (g) mephedrone, dan 107 gram kokain.

"Kami juga merampas peralatan pengacuan ekstasi yang mana mereka cuba menghasilkan dadah tetapi pengeluaran mereka sentiasa tidak berjaya," kata Wahyu dalam kenyataan akhbar itu.

Polis berkata, suspek warga Indonesia juga disiasat atas kes makmal dadah sebelum ini di Jakarta.

Indonesia mempunyai beberapa undang-undang dadah yang paling keras di dunia termasuk hukuman mati bagi pengedar.

Terdapat berpuluh-puluh pengedar yang dihukum mati di negara itu, termasuk seorang nenek warga United Kingdom yang menjadi penyeludup kokain dan seorang wanita Filipina yang dituduh menyeludup heroin.

Terdahulu, juga pada Isnin, polis Bali berkata, seorang warga Australia berusia 49 tahun berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lebih AS$600,000 (kira-kira RM2.8 juta) kerana didakwa mengguna dan cuba menjual syabu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 11:24 AM