Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Golongan berusia 60 tahun ke atas di Selangor dan Kuala Lumpur atas boleh mendapat vaksin Covid-19 secara terus (walk-in).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka boleh berbuat demikian serta merta di pusat perubatan yang dikendalikan pengamal perubatan (GP) swasta.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana data yang diperoleh menunjukkan masih ada warga emas berusia 60 tahun ke atas belum menerima suntikan vaksin.

Beliau berkata, seramai 2,229 GP di Selangor dan 1,254 GP di Kuala Lumpur akan digerakkan untuk tujuan itu.

Katanya, setakat ini inisiatif berkenaan akan dilaksanakan di Selangor dan Kuala Lumpur terlebih dulu sebelum diperluaskan di negeri lain yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Keputusan ini boleh mempercepatkan kadar vaksinasi diperoleh oleh warga emas berusia 60 tahun ke atas.

"Setakat ini 700 GP memberikan perkhidmatan suntikan vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Perkhidmatan GP swasta ini membolehkan 300,000 dos sehari vaksin dijangka dapat disuntik setiap hari," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

PETUGAS kesihatan dari Pejabat Kesihatan Sabak Bernam kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya pada Program Vaksinisasi "Mobile Outreach" yang dilaksanakan Pejabat Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Kesihatan Daerah di Sekinchan. FOTO Aizuddin Saad
PETUGAS kesihatan dari Pejabat Kesihatan Sabak Bernam kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya pada Program Vaksinisasi "Mobile Outreach" yang dilaksanakan Pejabat Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Kesihatan Daerah di Sekinchan. FOTO Aizuddin Saad

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Setiausaha Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Dr Adham berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri juga dibenarkan untuk beroperasi selama 24 jam sehari.

Katanya, inisiatif ini akan mula dilaksanakan di PPV Industri di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Ini adalah inisiatif untuk meningkatkan kadar vaksinasi di negeri berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:21 PM