Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Varian baharu Delta boleh merebak dengan cepat dalam tempoh 15 saat, menyebabkan kes Covid-19 semakin meningkat di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes mula dikesan pada 26 Jun lalu.

Menurutnya, varian berkenaan merebak dengan cepat dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) antara 5 hingga 8, berbanding varian lain iaitu nilai Rt sekitar 2.5 hingga 3.

"Sebelum ini, penilaian yang dilakukan terhadap kontak rapat kes positif mendapati mereka terdedah dalam tempoh 15 minit atau pada jarak kurang satu meter.

"Tapi varian baharu (Delta), jangkitan boleh berlaku dalam 15 saat saja dan jangkitan mengikut udara. Jangkitan lebih cepat berlaku di tempat sempit dan ruang pengudaraan tidak baik," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

TAN Sri Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama.
TAN Sri Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, varian Delta juga dikesan merebak di Labuan hasil penjujukan genom yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.

Beliau berkata, kes meningkat mendadak sehingga 1,340 kes dalam masa seminggu dan disebabkan varian Delta yang menular dalam kalangan pekerja industri perkapalan.

"Kita laksanakan tindakan kesihatan awam dan memulakan pemberian vaksinasi dalam masa dua minggu.

"Kita lihat kes dapat dikawal dan hari ini hanya 26 kes dilaporkan di Labuan. Ini menunjukkan walaupun varian Delta menular, tapi apa yang penting adalah kita perlu tingkatkan vaksinasi," katanya.

Katanya, ia membuktikan kawalan kesihatan awam dan vaksinasi berjaya membendung penularan jangkitan dalam komuniti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:58 PM