Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Peningkatan mendadak kes harian di hospital selain tempoh rawatan pesakit Covid-19 bagi tahap empat dan lima yang panjang menyebabkan berlaku kesesakan di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan jumlah pesakit Covid-19 datang ke hospital setiap hari memberi kesan kepada keupayaan wad kecemasan untuk menampung bilangan pesakit.

"Sekarang ini kita jangkakan pesakit (Covid-19) bagi tahap satu dan dua adalah sebanyak 85 peratus manakala tahap tiga hingga lima sebanyak 15 peratus.

"Walaupun jumlah pesakit (tahap tiga hingga lima) tidak banyak tapi pertambahan kes setiap hari menjadikan hospital sesak.

"Namun kita tidak boleh menolak pesakit untuk menerima rawatan dan menyediakan ruang kepada mereka sebelum dirujuk ke hospital lain mahupun swasta," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

KEADAAN wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), yang penuh sesak dengan pesakit kritikal Covid-19. FOTO Facebook Noor Hisham Abdullah
KEADAAN wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), yang penuh sesak dengan pesakit kritikal Covid-19. FOTO Facebook Noor Hisham Abdullah

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Setiausaha Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, tempoh rawatan pesakit tahap empat dan lima yang panjang menyebabkan berlaku peningkatan di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata, purata rawatan bagi pesakit tahap empat yang memerlukan oksigen selama 14 hari manakala tahap lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan pula selama 21 hari.

Namun, katanya, ia dapat diatasi menerusi pertambahan katil di hospital selain kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, bagi menempatkan pesakit tahap empat.

Katanya, pesakit juga dirujuk ke hospital daerah yang mempunyai kekosongan katil dan kemampuan menerima pesakit.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 8:26 PM